Bantuan Kebolehcapaian

  • Skala paparan 100%
  • Size teks 100%
  • Jarak barisan 100%
  • Jarak tulisan 100%

Soalan Lazim

Soalan Lazim Unit Pembangunan

Apakah permohonan yang dimaksudkan untuk tujuan Pembangunan Tanah?
  • Permohonan Penyerahan Balik dan Pemberimilikan Semula Tanah
  • Permohonan Serentak Pecah Sempadan dan Ubah Syarat Tanah
  • Permohonan Ubah Syarat, Pecah Sempadan dan Ubah Syarat Tanah
  • Permohonan Penyatuan Tanah
  • Memproses permohonan penukaran jenis penggunaan tanah dari pertanian kepada industri
  • Memproses permohonan pecah sempadan/bahagian, pemberian milik tanah dan penyerahan semula untuk tujuan membangunkan tanah di atas tanah milik.
Siapakah yang boleh memohon untuk tujuan Pembangunan Tanah?
  • Tuan tanah (Pemilik Berdaftar)
  • Pemegang Amanah Atau mana-mana orang yang diberi kuasa atau kebenaran oleh tuan tanah.
Apakah perbezaan pecah sempadan dengan pecah bahagian?

Pecah Sempadan
Tanah yang dipegang dibawah hakmilik tetap atau sementara sambungan dari hakmilik tetap dipecah kepada 2 atau lebih bahagian supaya tiap-tiap satunya dipegang dibawah hakmilik yang berasingan oleh tuanpunya yang sama atau tuan-tuan punya bersama yang sama.

Pecah Bahagian
Tanah yang dipegang dibawah hakmilik tetap atau dibawah hakmilik sementara sambungan dari hakmilik tetap yang dipegang oleh 2 orang atau lebih sebagai tuanpunya bersama adalah dipecah bahagiankan supaya tertakluk pada tiap-tiap seorang daripada mereka itu dibawah satu hakmilik yang berasingan.

Bolehkah permohonan untuk pecah bahagian dikemukakan sekiranya tidak mendapat persetujuan kesemua tuan tanah?

Boleh, permohonan boleh dikemukakan oleh mana-mana tuan tanah namun satu pemberitahuan akan dikeluarkan dan disampaikan kepada kesemua tuan tanah berdaftar untuk memaklumkan tentang permohonan tersebut. Sekiranya terdapat bantahan, ianya perlulah dikemukakan dalam masa yang telah ditetapkan dan satu sesi siasatan / pendengaran ke atas bantahan tersebut akan diadakan oleh Pentadbir Tanah.

Berapakah keluasan minimum yang boleh dipecahbahagi?

Minimum keluasan yang boleh dipecahbahagi bagi tanah kategori pertanian ialah 0.25 ekar dan perlu mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Apakah jenis pembangunan yang memerlukan Kebenaran Merancang?

Kesemua pembangunan yang melibatkan kerja penukaran kegunaan tanah atau bangunan, pemecahan sempadan atau penyatuan tanah adalah memerlukan Kebenaran Merancang untuk memudahkan urusan permohonan.

Bolehkah Pelan Kebenaran Merancang yang telah tamat tempoh boleh mengemukakan permohonan pembangunan tanah?

Tidak Boleh. Pemohon perlu mengemukakan permohonan baru atau rayuan lanjut tempoh KM kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan.

Bagaimanakah kaedah permohonan meminda syarat nyata tanah pertanian kepada pertanian kurang daripada 4 hektar?

Permohonan boleh dikemukakan terus ke Pejabat Daerah Tanah berkaitan dengan melengkapkan maklumat permohonan diperlukan.

Bolehkah tuan tanah menggunakan tanah pertanian selain tujuan pertanian seperti restoran, gerai buah-buahan, menara telekomunikasi dan lain-lain aktiviti bersifat komersil?

Boleh dengan mengemukakan permohonan di Pejabat Daerah Tanah. Pemohon akan dikenakan kadar cukai tanah baharu.

Sekiranya tiada permohonan dibuat dan aktiviti selain kegunaan pertanian telah dibuat di atas tanah tuan tanah akan dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Apakah takrifan pecah bahagian tanah?

Tanah yang dipegang di bawah hakmilik Pejabat Pendaftar atau Pejabat Tanah oleh dua atau lebih orang sebagai tuan punya bersama dipecah bahagikan supaya terletak hak kepada tiap-tiap daripada mereka, di bawah hakmilik berasingan, satu umpukan tanah berkadar luas yang sehampir mungkin dengan bahagian yang belum dipecahkan keseluruhannya (Seksyen 140(1)(b);

atau

bahawa tanah yang dipegang di bawah hakmilik Pejabat Pendaftar atau Pejabat Tanah oleh lebih daripada dua orang sebagai tuan punya bersama dipecah dibahagikan supaya terletakhak:-

  • kepada dua atau lebih orang untuk terus menjadi tuan punya bersama di atas satu hakmilik berasingan;
  • kepada tiap-tiap tuan empunya bersama yang selebihnya, hakmilik berasingan (seksyen 140(1)(b).
  • apabila hakmilik-hakmilik sementara didaftarkan untuk tiap-tiap umpukan, hakmilik yang sedia ada akan terbatal.
Apakah kawalan ke atas pecah bahagian tanah?

Tuan punya bersama tanah yang dipegang di bawah hakmilik Pejabat Pendaftar atau Pejabat Tanah boleh memecah bahagikan tanah yang dipegang oleh mereka hanya apabila syarat-syarat tertentu yang dikenakan oleh KTN dipenuhi. Syarat-syarat ini ialah khususnya untuk memastikan supaya pecah bahagian itu dapat dilakukan dengan teratur dan dapat mengelakkan kemungkinan berbangkit permasalahan berikut dengannya.

Apakah syarat-syarat kelulusan pecah bahagian yang terlibat?
  • Persetujuan tuan punya bersama tanah yang hendak dipecah bahagian - seksyen 141(1)(a);
  • Luas kawasan yang diletakhakkan kepad asetap tuan punya bersama / tuan punya yang selebihnya - seksyen 141(1)(b);
  • Sekatan kepentingan - seksyen 136(1)(a), yang terpakai menurut peruntukan seksyen 141(1)(c);
  • Peruntukan keperluan dan mana-mana undang-undang bertulis yang lain - seksyen 136(1)(b), yang terpakai menurut peruntukan 141(1)(c);
  • Kelulusan pihak berkuasa perancang - seksyen 136(1)(c)(i) dan (ii), yang terpakai menurut peruntukan seksyen 141(1)(c);
  • Persetujuan badan/pihak berkuasa tertentu - seksyen 136(c)(iii) yang terpakai menurut peruntukan seksyen 141(1)(c);
  • Butiran bayaran hasil tanah - seksyen 136(1)(c)(i) dan (ii), yang terpakai menurut peruntukan seksyen 141(1)(c);
  • Persetujuan setiap orang/badan yang mempunyai kepentingan tertentu ke atas tanah - seksyen 136(1)(f), yang terpakai menurut seksyen 141(1)(c);
  • Luas minimum bagi setiap umpukan pecahan pecah bahagian mengikut kegunaan - seksyen 136(1)(f), yang terpakai menurut seksyen 141(1)(c);
  • Bentuk umpukan-umpukan pecah bahagian - seksyen 136(1)(g), yang terpakai menurut peruntukan seksyen 141(1)(c); dan
  • Laluan keluar masuk untuk umpukan-umpukan pecah bahagian - seksyen 136(1)(h) yang terpakai menurut peruntukan seksyen 141(1)(c).
Di manakah permohonan bagi memecah bahagian boleh dimajukan?

Semua permohonan boleh dipohon melalui Pejabat Tanah dan Daerah dimana tanah itu terletak.